Seorang guru kata dia dan seorang lagi ajar bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Seni, dan mengaji Al-Quran di sekolah komunuti kepada anak pelarian Rohingya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Sekolah komuniti bagi pelarian Rohingya di Kedah bertujuan untuk memastikan anak-anak pelarian mendapat pendidikan asas, memandangkan mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan formal, menurut seorang guru.
Guru berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, menerangkan sekolah berkenaan, di Tongkang Yard di Alor Setar, Kedah mempunyai kira-kira 40 murid, berusia antara enam hingga 12 tahun, dan hanya dua tenaga pengajar.
Katanya, dia dan seorang lagi guru mengajar bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Seni dan mengaji Al-Quran.
“Sekolah ini bertujuan memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan asas dan tidak menghabiskan masa tanpa aktiviti yang bermanfaat, tidak melepak mana-mana tempat,” katanya, lapor Sinar Harian.
Yuran antara RM100 hingga RM120 sebulan dikenakan bagi seorang pelajar untuk menampung kos operasi, pendapatan guru, dan sewa premis RM500 sebulan, tambahnya.
Ayu berkata dia mengajar komuniti Rohingya sejak 15 tahun lalu, dan membantu mengendalikan sekolah berkenaan yang mula beroperasi pada 2023.
Komuniti Rohingya di Malaysia baru-baru ini menjadi tumpuan media, dengan laporan-laporan negatif mengenai komuniti tersebut, merangkumi dakwaan mengenai sekolah, petempatan, dan projek perumahan haram, salah guna lesen perniagaan, sehinggalah kepada ucapan kebencian.
Agensi pelarian PBB menyatakan terdapat sekitar 126,000 orang Rohingya dalam daftarnya di Malaysia, daripada keseluruhan 215,600 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar.
Etnik Rohingya terdiri daripada populasi Muslim yang melarikan diri dari Myanmar bagi mengelakkan penganiayaan agama. Sebagai golongan tanpa negara (stateless), anak-anak mereka tidak dapat menghadiri sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan.


