Sokongan PAS membuka laluan lebih jelas untuk Hamzah Zainudin kembali berada dalam PN, kata penganalisis.
PETALING JAYA: Pengiktirafan PAS kepada Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang mengukuhkan peluang Parti Wawasan Negara (Wawasan) diterima menyertai Perikatan Nasional (PN), menurut penganalisis.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata perkembangan itu menunjukkan Hamzah mendapat sokongan PAS, sekali gus membuka laluan lebih jelas untuk beliau kembali berada dalam PN.
“Cuma persoalannya, bagaimana PN mahu menangani kedudukan Bersatu yang masih bertegas kekal dalam gabungan itu dan terus menggunakan lambang PN,” katanya kepada FMT.
Semalam, Hadi mengumumkan PAS bersetuju untuk meneruskan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, selepas mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen partinya serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan Hamzah.
Syaza Shukri.
Sekiranya berlaku, Hamzah akan mengambil alih peranan tersebut daripada Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dilantik pada Mei. Hamzah melepaskan jawatan itu pada April, di sebalik desakan pemimpin Bersatu selepas beliau dipecat susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Ketetapan PAS diumumkan Hadi pada konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan, yang menyaksikan Hamzah melancarkan Wawasan sebagai parti baharunya.
Majlis dihadiri Hadi, Samsuri, Presiden Gerakan Dominic Lau, dan beberapa Ahli Parlimen Bersatu dikaitkan dengannya, seperti Ronald Kiandee (Beluran) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).
Hamzah beritahu hadirin bahawa nama parti baharu diberikan oleh Hadi, dan pihaknya mahu terlibat dengan PN.
“PN kini berdepan dilema sama ada menerima parti baharu itu sebagai sekutu strategik atau menolaknya, sekali gus berisiko kehilangan sokongan blok Hamzah,” kata Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting.
Beliau percaya kehadiran Wawasan bukan sekadar episod tambahan, tetapi titik tolak yang boleh menentukan masa depan PN menjelang PRU.
“Ia bukan sekadar wadah alternatif, tetapi isyarat jelas bahawa blok Hamzah mahu menuntut ruang kuasa yang lebih besar,” katanya.
“Dalam konteks PN, kemunculan parti ini menonjolkan retakan yang semakin melebar antara PAS dan Bersatu. PAS dilihat selesa dengan dominasi mereka, manakala Bersatu semakin terhimpit oleh pengaruh Hamzah yang agresif.”
Dalam pada itu, Syaza percaya Hamzah akan kembali menggalas peranan ketua pembangkang.
“Melihat kepada perkembangan semasa, jelas Hamzah mendapat sokongan PAS dan Gerakan. Pada saya, sokongan itu sudah memadai,” katanya.


