Ada sebuah artikel ilmiah terbit agak lama dahulu, judulnya ‘Budaya Neo-Feudal Dalam Lanskap Politik Luar Bandar: Kajian Kes di DUN Nusajaya’, tulisan Mazli Bidu dan Jamaie Hamil, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaaan Malaysia. Kajian ini menyorot mentaliti dan budaya pengundi dan masyarakat pedalaman di Johor, dengan melihat sikap mereka di DUN Nusajaya ketika PRU14.
Dapatan mereka boleh dijangka; Umno dapat terus membekas dan berkuasa di negeri seperti Johor lantaran kentalnya budaya politik neo-feudal. Malah, kedua-duanya memutuskan yang ‘kawasan luar bandar merupakan sumber kuasa kepada kelangsungan politik parti pemerintah’. Hal ini terjadi kerana pemerintah terdahulu, iaitu Umno memupuk subur budaya neo-feudal sejak negara ini merdeka.
Untuk mengukuhkan budaya neo-feudal ini, manca tindakan untuk mengukuhkan kuasa Umno dilaksanakan di kawasan kampung, dengan cara mengeksploitasi naratif pembangunan, menakut-nakutkan pengundi Melayu akan kehilangan kuasa, dan memainkan sentimen melibatkan budaya penaungan. Dalam masa sama Umno menggunakan pengaruh kepimpinan tertentu untuk terus bermaharajalela. Dengan cara ini, Umno terus-menerus berkuasa di pedalaman, dan dalam PRN Johor kali ini, corak yang sama dapat kita lihat.
Untuk pembaca yang kurang mahir dengan istilah feudal dan neo-feudal, sayugia diingatkan pada tahun 1968, sarjana terkemuka, Syed Hussein Alatas ada membahaskan perangai orang Melayu dan psikologi feudal yang ditanggung mereka. Dalam eseinya berjudul ‘Feudalism in Malaysian Society: A Study in Historical Continuity’, Syed Hussein menyatakan gejala feudalisme ini sangat sinonim dengan orang Melayu.
Gejala ini berlaku kerana pertamanya; terdapat jurang besar antara puak kaya dan bangsawan dengan puak rakyat jelata.
Keduanya; orde politik terus-menerus dikuasai oleh golongan pemerintah yang mana kuasa itu kelak diturunkan kepada anak cucu dan cicit serta seterusnya, demi upaya untuk mereka terus kekal berkuasa.
Ketiga pula; terdapat sistem ekonomi yang memanipulasi kaum tani, atau kelas bawahan mengerjakan tanah dan memberikan hasilnya kepada kaum atas.
Keempat, wujud pula hierarki tertinggi yang dikuasai oleh seorang bangsawan atau kuasawan yang terselamat dan dilindungi undang-undang serta mempunyai imuniti penuh walaupun melakukan penyelewengan, penipuan selain kezaliman.
Kelima, dinamik hubungan antara yang berkuasa dengan kaum bawah ini memaparkan kaum yang berkuasa bebas melakukan apa sahaja, sehingga berhak untuk menafikan sebarang permintaan dan keperluan orang di bawah.
Keenam, kuasa pemutus untuk menentukan kekayaan tanah hanya ada di dalam tangan kuasawan.
Sedang yang ketujuh, di bawah kelompok kuasawan terdapat lapis pemimpin rendah yang menjadi pembenteng untuk golongan di atas tersebut. Mereka adalah kelompok pelaksana untuk apa sahaja titah perintah pembesar atau pemimpin.
Kelapan, iaitu yang terakhir, taburan pembahagian kuasa dan fungsi dalam masyarakat tidak berlaku dengan saksama serta tidak berpusat.
Apabila kita menyebut mengenai neo-feudal, ia bermaksud segala amalan masyarakat feudal yang disebut di atas, dipakej baru dan diketengahkan dalam lanskap politik kontemporari. Dalam hal ini, Mazli Bidu dan Jamaie Hamil menegaskan “nilai-nilai psikologi feudal, politik penaung-dinaung, politik pembangunan dan kepimpinan mikro di peringkat akar umbi” masih diamalkan dan membolehkan kelompok tertentu untuk terus berkuasa.
Dalam banyak keadaan penipuan, penyelewengan malah korupsi dinafikan oleh masyarakat luar bandar ini serta secara lebih jijik dipertahankan pula.
Hal ini dimudahkan dengan permainan dan gula-gula mudah untuk masyarakat luar bandar yang bukan kebetulan “terikat kuat dengan konotasi ‘ketuanan Melayu’, ‘wakil raja’, dan ‘taat setia’, apabila membicarakan tentang pemimpin dan kepimpinan”. Menurut Mazli dan Jamaie, “ini kerana pemikiran mereka telah ditanam dengan herd mentality sejak sekian lama”. Mereka bukan melihat pemimpin sebagai yang berkhidmat, tetapi yang berhormat dan “memerlukan pemimpin sebagai pelindung; iaitu tukaran nilai kesetiaan yang diberikan”.
Kajian Mazli dan Jamaie itu seterusnya menyatakan salah satu cara Barisan Nasional terus “berjaya mengekalkan kuasa selama ini” adalah dengan cara “parti-parti komponennya mengapi-apikan sentimen perkauman di peringkat akar umbi, walaupun, elit politik bekerjasama di peringkat kebangsaan dalam bentuk consociational”. Pemomokan kononnya “undi kaum Cina yang menolak calon Melayu BN” atau mitos “usaha kaum Cina untuk merebut kuasa politik” kerap dimainkan.
Hal ini kita lihat terus-menerus berlaku ketika PRN Johor kali ini.
Apa yang bakal membengkakkan hati kelompok bukan neo-feudal adalah mereka mengalami kesulitan untuk pulang mengundi. Ini kerana mereka tidak boleh pulang lantaran tarikh pilihan raya di pertengahan bulan. Selain itu pengundi bukan Melayu terasa bimbang dengan permainan naratif neo-feudal yang meletakkan mereka dalam pelbagai risiko. Politik penaungan juga mengakibatkan segmen pengundi di Johor tidak mampu berubah. Hal ini membolehkan Mat Feudal Johor terus memenangi kawasan pilihan raya di desa dan pedalaman, dan dalam kes ini kita melihat kembali apa yang diketengahkan oleh Mazli dan Jamaie.
Ia diburukkan oleh keadaan banyaknya parti bertanding dan tiadanya kesepakatan untuk membanteras gejala hanyir neo-feudal ini. Akibatnya kita melihat kelompok neo-feudal mendabik dada bahawa pilihan raya semacam satu pungutan suara untuk membolehkan koruptor tertentu kembali diterima dalam masyarakat. Hal ini sangatlah malang.
Pada tahun Anne Hathaway mengucapkan insya-Allah bila berjanji, dan Cristiano Ronaldo membacakan bismillah sebelum menendang bola ke gawang gol, puak neo-feudal masih tergamak memainkan cerita basi Cina sedang berkuasa. Dendangan ‘mual’ ini dilakukan bukan sahaja oleh Umno, tetapi tokoh-tokoh tua seperti Mahathir Mohamad.
Akibatnya amatlah malang, politik kesejahteraan dan kemajuan tertolak oleh ketakutan dan beban psikologi purbakala iaitu feudalisme.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

