Calon Pakatan Harapan Bukit Naning Md Ysahrudin Kusni (kanan) dan calon Perikatan Nasional Radzi Amin bertanding dalam pertembungan lima penjuru bersama calon BN dan Bebas pada PRN Johor, 11 Julai ini.
BAKRI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Naning Md Ysahrudin Kusni berjanji untuk menyalurkan keseluruhan elaunnya sebagai Adun ke tabung kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat pada PRN Johor, 11 Julai ini. nanti.
Beliau berkata ia adalah antara lima tawarannya kepada pengundi selain menumpukan sektor pertanian, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur bagi meningkatkan taraf hidup penduduk kawasan itu.
Katanya, dia juga berharap rekod perkhidmatannya sebagai Adun pada 2018 menjadi sandaran untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengundi terutama apabila berjaya menangani isu air tangki kawasan itu yang tertangguh lebih 30 tahun.
“Saya berharap jasa dan perkhidmatan yang pernah diberikan akan diterjemahkan oleh rakyat melalui undi mereka.
“Saya juga mahu menjadi wakil kepada semua kaum, bukan hanya satu kelompok masyarakat,” katanya, sambil memaklumkan telah menyantuni kira-kira 70% pengundi setakat ini.
Ysahrudin yang berdepan pertembungan lima penjuru di kerusi itu berkata, dia tidak mahu memandang rendah keupayaan setiap calon kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing.
Bagaimanapun katanya, dia lebih bimbang dengan kehadiran calon Bebas, S Jeganathan yang sebelum ini mempunyai rekod menarik dengan sekitar 1,500 pengundi.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Radzi Amin, berkata pengalaman lebih 25 tahun berkhidmat di Bukit Naning menjadi kekuatan utamanya untuk meraih sokongan pengundi meskipun berdepan dua parti jentera kerajaan PH dan Barisan Nasional (BN).
“Saya pernah menjadi yang dipertua PIBG selama 13 tahun dan juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas Adun Bukit Naning Abdullah Md Khalid Ali,” katanya yang juga ketua Bersatu Bakri.
Manakala calon Barisan Nasional (BN) Ghazali Sabari pula menyeru pengundi mengekalkan kerajaan sedia ada di Johor bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
“Saya menyeru rakyat mengekalkan kerajaan BN Johor. Dengan kestabilan yang ada, insya-Allah kita dapat membina kerajaan yang lebih baik dan saya berharap majoriti kemenangan di Bukit Naning dapat ditingkatkan,” katanya.
Sementara itu, S Jeganathan berkata beliau yakin mampu mencipta sejarah dengan memenangi kerusi DUN Bukit Naning walaupun tewas dua kali di kerusi berkenaan sebelum ini.
“Saya tidak pernah berputus asa dan terus membantu rakyat. Penduduk di sini juga memberikan sokongan kepada saya. Pilihan raya lalu saya memperoleh 1,514 undi dan kali ini saya menyasarkan lebih 6,000 undi untuk menang,” katanya.


