Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar berkata kenyataan Nazifuddin Najib itu satu manipulasi politik terhadap suara rakyat.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR menyelar Nazifuddin Najib yang menyatakan bahawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor nanti sebagai isyarat rakyat menyokong bapanya dan berharap bekas perdana menteri itu diampunkan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar berkata kenyatan Nazifuddin itu bukan sahaja bersifat angkuh malah merupakan satu penghinaan terbuka terhadap kebijaksanaan rakyat Johor serta satu bentuk ejekan terhadap prinsip demokrasi.
Katanya, pilihan raya bukan referendum untuk menentukan nasib seorang individu dan ia adalah medan rakyat memilih kerajaan yang mampu mentadbir dengan berintegriti, mengurus ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menarik pelaburan dan membina masa depan negeri.
“Membawa naratif bahawa kemenangan pilihan raya adalah ‘mandat’ untuk pengampunan seseorang jelas memperlekehkan jutaan pengundi Johor dan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap undi rakyat Johor sangat bernilai dan ia tidak boleh dijadikan lesen politik untuk menyelamatkan seorang individu yang telah dijatuh hukum oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sivamalar juga mengingatkan Nazifuddin, bahawa BN buat pertama kalinya tewas di Johor yang sekian lama dianggap kubu kuat gabungan itu pada PRU 2018 yang mencatatkan kadar keluar mengundi sekitar 89%.
Sebaliknya, Sivamalar berkata, kemenangan besar BN dalam PRN Johor 2022 berlaku semasa pandemik Covid-19 yang menyebabkan kadar keluar mengundi hanya sekitar 54.9% sahaja.
“Fakta ini membuktikan apabila rakyat Johor keluar beramai-ramai untuk mengundi, mereka membuat keputusan berdasarkan harapan mengenai masa depan negeri bukan demi kepentingan mana-mana individu.
“Justeru, cubaan menafsir keputusan tersebut sebagai ‘mandat rakyat’ untuk pengampunan Najib bukan sahaja tidak berasas malah merupakan manipulasi politik terhadap suara rakyat,” katanya.
Tambahnya, Pakatan Harapan sentiasa menghormati institusi kehakiman dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam proses pengampunan yang mempunyai saluran serta prosedur tanpa sebarang tekanan atau eksploitasi politik.
“Pada 11 Julai nanti, saya yakin rakyat Johor sekali lagi akan membuktikan bahawa mereka tidak boleh diperkecilkan, tidak boleh diperalatkan, dan tidak boleh dipaksa menerima naratif yang menghina kebijaksanaan mereka.
“Demokrasi bukan milik mana-mana keluarga politik. Demokrasi adalah hak rakyat dan rakyat Johor tahu bagaimana mempertahankannya,” katanya.
Malam tadi, Nazifuddin dalam satu program di Kluang, Johor berkata kemenangan besar BN pada PRN Johor akan memberi isyarat rakyat terus menyokong Najib dan berharap beliau menerima pengampunan diraja,
Bagaimanapun, Ketua Umno Langkawi itu mengakui kuasa pengampunan adalah hak Yang di-Pertuan Agong.


