1MDB dan plaintif bersama lain menyaman Rosmah Mansor bagi mendapatkan semula barangan serta pampasan kewangan berhubung pembelian barangan mewah didakwa menggunakan dana diseleweng daripada syarikat berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Saman sivil bernilai jutaan dolar yang difailkan 1MDB bersama 10 entiti lain terhadap Rosmah Mansor dilihat tergendala, dengan tiada tarikh perbicaraan ditetapkan setakat ini susulan kekosongan jawatan hakim.
Saman difailkan pada Mei 2024 itu bertujuan mendapatkan semula barangan serta pampasan kewangan berhubung barangan mewah yang didakwa dibeli isteri bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan dana diseleweng daripada syarikat terbabit.
Kekosongan jawatan hakim itu turut menyebabkan beberapa permohonan penting sebelum perbicaraan, yang difailkan kedua-dua pihak, belum dapat diputuskan.
Pengurusan kes ditetapkan minggu depan, dengan mahkamah dijangka memberikan perkembangan dan arahan lanjut berhubung hala tuju saman berkenaan.
Tuntutan utama dalam saman itu ialah dakwaan bahawa Rosmah menerima dan memiliki ribuan barangan mewah yang dibiayai menggunakan aset milik 1MDB serta anak syarikatnya.
Siasatan oleh pelikuidasi mendedahkan aliran wang yang kompleks membabitkan lebih USD346 juta.
Plaintif mendakwa dana itu disalurkan melalui lapan entiti pembayaran luar pesisir yang dikawal beberapa individu dikenali sebagai proksi Najib, termasuk Low Taek Jho atau Jho Low, dan Eric Tan.
Mereka juga mendakwa antara 2009 dan 2014, kira-kira 320 pembayaran dibuat kepada sekurang-kurangnya 48 vendor di seluruh dunia bagi membolehkan pembelian barangan mewah berkenaan.
Plaintif mendakwa transaksi itu adalah usaha yang diselaraskan dan tidak tulen untuk memindahkan wang yang diseleweng melalui pelbagai pihak perantara sebelum sampai kepada vendor.
Kes itu bakal menyaksikan Shabnam Naraindas Daswani, yang pada asalnya dinamakan sebagai defendan bersama, memberi keterangan bagi pihak 1MDB terhadap Rosmah selepas saman terhadapnya dihentikan dua bulan lalu.
Barangan yang menjadi pertikaian itu dikaitkan dengan rampasan besar-besaran oleh polis ketika serbuan di Pavilion Residence pada Mei 2018.
Rampasan itu merangkumi 11,991 barang kemas dan lebih 700 beg tangan.
Pendakwa raya sebelum ini memohon untuk melucut hak barangan berkenaan mengikut undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, namun gagal selepas seorang hakim pada 2022 memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak dapat menunjukkan kaitan langsung dengan mana-mana kesalahan asal yang dilakukan Rosmah.
Barangan itu dipulangkan kepada Rosmah secara berperingkat sepanjang 2022.
Bagaimanapun, 1MDB dan plaintif lain kini mendakwa barangan tertentu itu dibeli menggunakan dana yang diseleweng, sekali gus menjadi asas kepada tindakan sivil untuk mendapatkan semula aset berkenaan.
Saman itu menamakan 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited, SRC International Sdn Bhd, Affinity Equity International Partners Limited dan Alsen Chance Holdings Limited.
Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited, dan Brightstone Jewellery Limited sebagai plaintif bersama.

