Proton X50 yang rosak akibat letupan bom di bandar sempadan Tak Bai, wilayah Narathiwat, Thailand, hari ini. (Gambar Polis Thailand)
PETALING JAYA: Dua rakyat Malaysia cedera dalam letupan bom di bandar sempadan Tak Bai, wilayah Narathiwat, Thailand, tengah hari tadi.
Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat berkata kedua-dua mangsa menaiki kenderaan berdaftar di Malaysia ketika kejadian berlaku pada 12.40 tengah hari, lapor Harian Metro.
Mangsa yang berusia 38 dan 45 tahun itu mengalami kecederaan di badan, manakala kenderaan dinaiki mereka turut rosak akibat letupan berkenaan.
Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Narathiwat.
Difahamkan, terdapat tiga orang dalam kenderaan itu ketika kejadian, namun seorang lagi penumpang terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Ahli Parlimen Sungai Golok dan Tak Bai, Amin Mat Yusof, berkata bom itu meletup ketika mangsa melalui kawasan berkenaan dengan menaiki Proton X50.
“Keadaan kedua-dua mangsa stabil,” katanya.
Yusoff mengesahkan kedua-dua mangsa cedera dalam letupan itu, namun berkata polis masih mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan.


